Sime Darby Plantation sumbang RM25 juta untuk pulihara habitat Orang Utan

5th December, 2008

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dan Sime Darby Plantation Sdn Bhd kelmarin menandatangani perjanjian kerjasama untuk pemuliharaan dan perlindungan habitat Orang Hutan di Utara Ulu Segama di Lahad Datu.Melalui perjanjian itu, Sime Darby Plantation Sdn Bhd menyumbang RM25 juta untuk projek konsevasi terutamanya untuk pemuliharaan habitat orang hutan di utara Ulu Segama bagi tempoh 10 tahun.Sumbangan RM25 juta daripada Sime Darby Plantation Sdn Bhd itu, menjadikan syarikat perladangan terbesar negara itu se-bagai penyumbang terbesar untuk pemuliharaan terutamanya pemulihan habitat orang hutan di Utara Ulu Segama.Pada majlis menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, Kerajaan Negeri diwakili oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan manakala Sime Darby Plantation Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Kumpulan Sustainability, Puvan Jegeraj Selvanathan.

Semasa pelancaran Koridor Pembang-unan Sabah (SDC) pada 29 Januari tahun ini kedua belah pihak telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan objektif untuk mengenal pasti kawasan di Ulu Segama Malua untuk kerja pemulihan kerosakan hutan yang menjadi habitat penting orang hutan.

Kerjasama itu menyasarkan untuk menghijaukan semula kawasan hutan di Hutan Simpan Ulu Segama Lahad Datu yang dikenal pasti mengalami kerosakan teruk akibat kegiatan penerokaan hutan.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Ama berkata, usaha memulihara hutan dan perlindungan Orang Hutan serta spesis hidupan liar lain menunjukkan komitmen dan keseriusan kerajaan negeri dalam pemuliharaan hutan dan pelindungan hidupan liar di negeri ini terutamanya Orang Hutan.

Katanya, keputusan kerajaan untuk menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan Ulu Segama menyebabkan kerajaan negeri telah kehilangan hasil dan royalti berjuta-juta ringgit, tetapi ianya merupakan komitmen kerajaan untuk memulihara hutan dan memelihara Orang Hutan dan spesies binatang lain di negeri ini

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai lagi pihak lain yang datang untuk memberi sumbangan untuk membantu pemuliharaan hutan dan perlindungan hidupan liar seperti yang dilakukan oleh Sime Darby Plantation Sdn Bhd.

Musa berkata, usaha kerajaan negeri dalam memulihara hutan dan melindungi hidupan liar itu mendapat kerjasama daripada organisasi lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, ini kerana usaha itu sangat penting bagi memastikan spesies hidupan liar di negeri ini tidak pupus.

Dalam pada itu, Sam Mannan berkata, dalam tempoh lebih lima tahun lalu kerajaan negeri telah meyumbang lebih RM200 juta untuk pemuliharaan hutan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.

“Kita sangat beruntung kerana mendapat sokongan politik di negeri ini di peringkat tinggi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, program pemuliharaan dan pemeliharaan itu akan dilaksanakan di kawasan seluas 5,403 hektar daripada jumlah keseluruhan kawasan Ulu Segama-Malua iaitu 12,000 hektar. Kos untuk setiap hektar ialah kira-kira RM4,000.

Beliau percaya sumbangan RM25 juta daripada Sime Darby Plantition merupakan sumbangan terhadap tanggungjawab sosial korporat syarikat perladangan itu.